Advertisement

Polis Tawau Rampas Syabu Bernilai RM120,000 Dan Tahan ‘Transporter’ Lelaki Warga Asing – Sabah News

TAWAU: Polis berjaya merampas dadah jenis syabu dianggar bernilai Rm120,000 dan menahan ‘transporter’ lelaki warga asing di sekitar kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Air Panas, Tawau. pada 26 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 50-an ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 2.30 petang selepas dilihat dalam keadaan yang mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap suspek, pihak Polis telah merampas sebuah beg plastik bertangkai yang mengandungi dua peket plastik keemasan yang mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 2.10 kilogram dengan nilai anggaran berjumlah RM120,000.

“Dalam pemeriksaan yang dijalankan, pihak polis menemui dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 2.10 kilogram dengan nilai anggaran dadah bernilai RM120,000 yang disyaki untuk diedarkan,” katanya dalam satu sidang media di IPD Tawau, pagi tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berperanan sebagai transporter yang bertanggungjawab membawa bekalan dadah bagi tujuan pengedaran di sekitar daerah ini.

Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang jenis dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Mengulas lanjut, dadah yang dirampas dipercayai mampu menampung keperluan penagih dalam jumlah yang besar.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman sehingga 6 Mac 2025 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabitkan kesalahan hendaklah dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah jika tidak dijatuhkan hukuman mati dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

ACP Jasmin turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.