KOTA KINABALU: Agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam menyebar dan menyampaikan segala inisiatif bantuan daripada kerajaan diingatkan untuk lebih peka dan lebih teliti melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Pengerusi SMART Sabah, Datuk Mohd Razali Razi berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan berlaku keciciran penyaluran bantuan selain mempermudah urusan rakyat yang layak memohon.
“Yang perlu kita tekankan disini ialah pada kepekaan, sebab kadang-kadang pemohon dia tidak faham, itu kita kena ambil peranan, agensi-agensi kerajaan kena maklum cara-cara bagaimana mereka boleh dapat dan menikmati bantuan-bantuan kerajaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan penyerahan bantuan kepada 100 usahawan muda di Dewan Farabi Masjid Jamek, Likas bersempena dengan Program Outreach Ketua Menteri bersama NGO dan Usahawan Muda Sabah Tahun 2025 pada Isnin.
Turut hadir pada program itu ialah, Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan Dan Rakyat (IKRAR), Azrul Ibrahim dan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan.
Ketika ditanya mengenai rungutan rakyat terhadap permohonan bantuan yang kurang jelas, Razali berkata, perkara tersebut perlu diselesaikan dengan meneliti permasalahan di kedua-dua pihak, iaitu pihak kerajaan dan pemohon.
“Kadang-kadang kita kena lihat juga masalah daripada penerima dan mungkin daripada kerajaan. Tapi ringkasnya, setiap daripada apa yang kita lakukan, dia tertakluk kepada peraturan dan syarat.
“Jadi, kalau peraturan dan syarat itu ada, pemohon layak, saya tidak melihat dia membawa isu atau masalah.
“Mungkin apa yang perlu kita jelaskan di sini ialah, bagaimana kita sampaikan maklumat-maklumat mengenai bantuan ini kepada para pemohon,” jelasnya.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa, apa yang utama adalah tugas agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk menjelaskan tatacara bagaimana penyempurnaan bantuan itu boleh dijalankan.
Kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa bantuan sejak awal tahun ini termasuk bantuan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang memanfaatkan lebih 100 ribu penerima layak selama 12 bulan.