KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pembelian kad Automated Teller Machine (ATM) yang aktif di daerah ini dengan menahan dua individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, tangkapan dibuat pada 6 Mac 2025, kira-kira jam 7.30 malam, di mana kedua-dua suspek dipercayai membeli kad ATM daripada pemilik asal dengan bayaran antara RM500 hingga RM1,000 bagi setiap kad.
“Semasa tangkapan, polis turut merampas 10 keping kad ATM daripada pelbagai institusi kewangan yang dipercayai milik individu lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mendedahkan bahawa dalam tempoh lima bulan terakhir, pihak polis telah menjalankan tiga serbuan di sekitar Kota Kinabalu, yang membawa kepada tangkapan 21 individu serta rampasan sebanyak 125 keping kad ATM.
Sehubungan itu, ACP Kasim menasihatkan orang ramai agar tidak menjual, menyewa atau menyerahkan kad ATM peribadi kepada mana-mana pihak kerana kad tersebut boleh disalahgunakan untuk aktiviti jenayah.
“Jika kad ATM digunakan untuk tujuan penipuan, pemiliknya juga boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 424B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000, atau penjara antara satu hingga tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek yang ditahan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.