Advertisement

Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Beri Kunjungan Hormat Perpisahan Kepada Tun Musa Aman – Sabah News

KOTA KINABALU: Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Yang Berbahagia Dr. Huang Shifang, hari ini melakukan kunjungan hormat perpisahan kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman di Istana Negeri Seri Kinabalu.

Kunjungan itu dibuat berikutan tamatnya tempoh perkhidmatan Dr. Huang di Sabah pada Mac ini.

Dalam pertemuan tersebut, Tuan Yang Terutama Tun mengucapkan penghargaan kepada Dr. Huang atas perkhidmatannya sepanjang bertugas di Sabah dan menyatakan bahawa negeri ini sentiasa mengalu-alukan kehadirannya pada masa akan datang.

“Sejak penubuhannya, Pejabat Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu telah memberikan sumbangan besar dalam memperkukuh hubungan antara China dan Sabah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Sabah sentiasa bersedia untuk menerima cadangan daripada pihak Konsul Jeneral dalam usaha meningkatkan perdagangan, pelancongan, pelaburan dan sektor lain bagi memacu kemakmuran bersama antara China dan Malaysia, khususnya Sabah.

“Malaysia, khususnya Sabah, telah menikmati hubungan erat dengan banyak wilayah di China. Ini jelas dilihat menerusi jumlah pelancong China yang semakin meningkat ke negeri ini, yang membawa manfaat ekonomi yang besar kepada Sabah,” tambahnya.

Sementara itu, Dr. Huang menyatakan bahawa hubungan antara China dan Malaysia sememangnya telah lama terjalin dan semakin kukuh pada masa kini.

“Saya berasa amat bertuah kerana dapat berkhidmat di Sabah pada waktu yang begitu baik, ketika kedua-dua negara menikmati hubungan yang semakin erat,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kehangatan dan keramahan rakyat Sabah, serta kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Saya juga ingin menyampaikan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun atas usahanya dalam mempromosikan hubungan dengan China sejak beliau masih menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah,” ujarnya.

Dr. Huang turut menyatakan bahawa sokongan Tun Musa Aman terhadap hubungan dua hala ini dapat dilihat menerusi kehadirannya dalam acara Festival Musim Bunga yang baru-baru ini dianjurkan oleh Pejabat Konsul Jeneral China.

“Saya berharap dapat kembali ke Sabah pada masa akan datang kerana negeri ini mempunyai begitu banyak potensi, terutamanya dalam sektor pelancongan dan sumber alam,” katanya.