KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) akan menyalurkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada lebih 30 sekolah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Exco Pendidikan Negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata sekolah-sekolah yang terlibat berada di Beaufort, Membakut, Keningau, Tenom dan satu di Pantai Timur yang telah dikenal pasti untuk kerja-kerja pembaikan dan pembersihan.
“TPNS juga telah meluluskan lebih RM600,000 dalam bentuk bantuan sekali bayar kepada 141 pelajar Sabah dari peringkat matrikulasi hingga PhD bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SabahNet dan Theta Telecoms di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Khamis.
Kerjasama strategik ini bertujuan merealisasikan matlamat Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2, yang akan memperkasakan komuniti luar bandar dengan rangkaian lebih baik, membuka peluang dalam e-dagang, teleperubatan dan pendidikan jarak jauh, sekali gus memacu transformasi digital di Sabah.
Inisiatif ini juga adalah kesinambungan kepada pelan MyDIGITAL dan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), bagi memastikan keterangkuman serta akses digital berkualiti tinggi untuk semua rakyat Sabah.
Pengerusi SabahNet Sdn Bhd, Datuk Azman Ruslan, menegaskan bahawa kerjasama ini adalah langkah penting bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat berhubung serta menikmati akses digital yang bermakna dan memberi impak besar kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Theta Edge Bhd, Datuk Nuraslina Zainal Abidin, berkata kepakaran bersama kedua-dua syarikat akan membentuk asas kukuh bagi penyelesaian rangkaian generasi baharu untuk semua komuniti.
SabahNet Sdn Bhd, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah KSTI, memainkan peranan utama dalam mengurus serta membangunkan infrastruktur digital kerajaan, menyediakan penyelesaian ICT dan menggalakkan keterangkuman digital di seluruh negeri.
Theta Telecoms Sdn Bhd pula, anak syarikat Theta Edge Berhad, pakar dalam pembangunan infrastruktur telekomunikasi dan penyelesaian rangkaian, dengan rekod cemerlang dalam pelaksanaan projek di seluruh negara.