KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal telah melaksanakan Ops Pulau Bersih & Hijau, sebuah inisiatif besar-besaran yang berlangsung selama dua (2) hari, bermula 13 hingga 14 Mac 2025.
Program ini melibatkan seramai 55 anggota jabatan dengan matlamat utama untuk memperkasakan perkhidmatan pengutipan sisa pepejal di kawasan kepulauan, khususnya di Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar.
Pada hari pertama, operasi telah ditumpukan di sekitar Kg. Torong Logong, Kg. Pulau Gaya Asli, Kg. Lobong dan Kg. Pondo di Pulau Gaya.
Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk edaran risalah dari pintu ke pintu kepada penduduk mengenai perkhidmatan pengutipan sisa pepejal serta kemudahan rumah sampah yang telah disediakan oleh DBKK sejak 02 Januari 2025.
Para penduduk turut diberikan penerangan berkaitan kaedah pelupusan sisa rumah yang betul dan kaedah pengasingan sisa yang boleh diamalkan bagi mengurangkan pencemaran serta meningkatkan kitar semula. Sepanjang operasi berlangsung, sekitar 400 buah rumah telah dikunjungi dalam sesi hebahan ini.
Dalam masa yang sama, DBKK turut menjalankan Kajian Maklum Balas Pelanggan bagi menilai tahap kepuasan penduduk terhadap perkhidmatan yang disediakan. Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan komen dan cadangan penambahbaikan daripada pengguna rumah sampah sendiri.
Secara purata, penduduk menyatakan kepuasan terhadap perkhidmatan sedia ada serta mengharapkan lebih banyak rumah sampah dibina di lokasi yang strategik. DBKK memandang serius maklum balas ini dan akan meneliti tindakan penambahbaikan yang sesuai untuk masa akan datang.
DBKK menyeru kerjasama semua penduduk untuk menggunakan kemudahan yang disediakan, mengamalkan pembuangan sampah secara bertanggungjawab, dan bersama-sama menjaga kebersihan pulau. Hanya dengan kesedaran dan tindakan bersama, kita dapat memastikan persekitaran yang lebih bersih, hijau, dan lestari.
Ikuti perkembangan inisiatif ini dengan melayari laman Facebook dan TikTok “KK Bersih Dan Hijau”. Sokong misi ini dengan menyukai, berkongsi, dan menyebarkan kesedaran agar lebih ramai dapat bersama-sama menjayakan inisiatif kebersihan ini.