Advertisement

Dr. Joachim Sampaikan Bantuan Kepada Penjaja Terjejas Kebakaran di Kundasang – Sabah News

KUNDASANG: Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam telah menyampaikan bantuan ihsan pada Sabtu lalu kepada para penjaja gerai sayur yang terjejas akibat kebakaran di Kundasang, baru-baru ini.

Dr. Joachim berharap bantuan yang dihulurkan dapat meringankan beban mereka.

Pada Khamis lalu (13 Mac), kebakaran di Pekan Kundasang telah memusnahkan lapan premis, termasuk tiga kedai runcit, dua inap desa, satu blok rumah sewa dengan 11 pintu, serta sebuah setor penyimpanan barang runcit.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu menjelaskan bahawa beliau mendapat tahu mengenai kejadian tersebut ketika berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63, yang turut dihadiri beberapa Menteri Kabinet.

Setibanya dari Kuala Lumpur, Dr. Joachim segera bergegas ke lokasi kejadian untuk meninjau situasi secara langsung.

Dalam lawatan itu, beliau turut mendengar penerangan daripada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Dounis Sani; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB), Suatin Mayor; Presiden Persatuan Penjaja Gerai Sayur Kundasang, Mariana Taliban; serta wakil daripada Majlis Daerah Ranau.

Dr. Joachim memaklumkan bahawa pihaknya menunggu laporan penuh kebakaran dari bahagian forensik, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM). Sehubungan itu, beliau turut diberitahu bahawa pihak Pejabat Daerah dan agensi (JBPM) berkenaan akan bermesyuarat pada minggu depan untuk tindakan selanjutnya.

Selain itu, Dr. Joachim juga berharap pihak JKDB dan Majlis Daerah akan dapat membantu mempercepatkan proses pembinaan semula premis yang terjejas, mengikut prosedur yang telah ditetapkan.