KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah menahan 21 warga asing dalam operasi penguatkuasaan di dua premis hiburan sekitar Kota Kinabalu dan Penampang awal pagi semalam.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi berdasarkan risikan tiga minggu itu menyasarkan sebuah pusat hiburan dan kelab malam.
“Di lokasi pertama, kami menahan tujuh warga asing iaitu seorang lelaki Filipina dan enam wanita Vietnam.
“Di lokasi kedua, 14 individu ditahan, termasuk tujuh warga Filipina dan tujuh warga Indonesia,” katanya.
Turut dirampas dalam operasi itu ialah lesen perniagaan, wang tunai RM3,957, dokumen sewaan premis dan buku catatan.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Imigresen Sabah menyeru orang ramai menyalurkan maklumat mengenai pendatang tanpa izin atau majikan yang menggaji pekerja asing secara haram.
Sehingga kini, 8,134 orang telah diperiksa dengan 1,271 tangkapan serta 2,472 penghantaran pulang.