KOTA MARUDU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menyasarkan untuk meletakkan sekurang-kurangnya tiga calon muda bagi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil, menegaskan bahawa matlamat ini penting bagi memastikan suara belia dan masyarakat luar bandar dapat dibawa dengan lebih berkesan ke Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, sasaran tersebut telah disampaikan kepada pucuk pimpinan parti, termasuk Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan AMK pusat.
“Kita mahu lebih ramai anak muda menjadi pemimpin dan wakil rakyat di Sabah.
“Selain itu, peranan kita juga adalah untuk menjadi mekanisme semak dan imbang serta membawa suara anak muda ke sidang DUN,” katanya dalam sidang media sempena Forum dan Pelancaran Manifesto 157 Pasukan Penyatuan Keadilan di Kota Marudu pada Selasa.
Zaidi turut menekankan bahawa AMK Sabah membawa pendekatan politik berteraskan idealisme dan nilai, bukan sekadar populariti.
Beliau percaya bahawa kefahaman mendalam terhadap perjuangan reformasi dan prinsip parti akan mengukuhkan AMK dan memastikan kesinambungan kepimpinan yang lebih berkualiti.
Forum dan pelancaran manifesto itu diadakan di Marudu Inn, Kota Marudu, dengan kehadiran Pemangku Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Marudu, Datuk Seri George Rumunsai.
Sementara itu, pemilihan PKR Cabang Kota Marudu bagi sesi kepimpinan 2025-2028 bakal menyaksikan saingan antara Zaidi, Sazalye Donol Abdullah, Jasmon Jaji, dan Jolius Majawai bagi jawatan Ketua Cabang.