TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas dipercayai menyerang seorang lelaki bersenjatakan parang sehingga menyebabkan kecederaan dalam kejadian di Kampung Kurnia Jaya Batu 4, Jalan Apas Tawau, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek warga asing berusia 30-an itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau kira-kira jam 12.00 tengahari dalam serbuan di sekitar kawasan Kampung Kurnia Jaya Batu 4, Jalan Apas.
Menurutnya, pihak Polis telah menerima laporan daripada anak mangsa yang mengatakan bapanya berumur 50 tahun telah diserang oleh seorang lelaki yang dikenali dengan senjata parang kira-kira jam 7.30 pagi, ketika mangsa sedang bersarapan di kaki lima rumah.
“Akibat dari kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan dan menerima tujuh jahitan di lengan kanan dipercayai diserang dengan menggunakan parang akibat perselisihan faham.
“Polis turut merampas sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.