KOTA KINABALU: Seramai 227 mangsa terjejas banjir melibatkan tiga daerah, iaitu Beluran, Sandakan dan Paitan setakat jam 12 tengah hari, hari ini.
Banjir tersebut berlaku akibat susulan daripada kejadian hujan berterusan di tiga daerah terbabit sejak semalam.
Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan keseluruhan mangsa turut melibatkan 59 jumlah Ketua Isi Rumah (KIR).
“Susulan itu juga, sebanyak enam jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan bagi menempatkan kesemua mangsa terjejas banjir, iaitu dua di Beluran, tiga di Sandakan dan satu di Paitan.
“PPS Dewan Kampung Balaban Jaya (47 mangsa); Dewan Kampung Sungai Nangka (45 mangsa); Masjid Nur Hidayah Kampung Garinono Batu 25, Sandakan; Masjid Nur Iman Kampung Sungai Memanjang, Sandakan (119 mangsa); Masjid Nurul Iman, Kampung Pertanian (13 mangsa); dan SMK Pamol (3 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, amaran hujan berterusan tahap waspada di negeri ini akan berlarutan hingga 21 Mac melibatkan kawasan Pantai Timur dan Utara.