Advertisement

Expo Industri Sukan 2024 Bermula Jumaat Ini





Kbs
Azizi ketika ditemubual di konti SABAHfm ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Expo Industri Sukan 2024 (EIS 2024) akan berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Pegawai Pembangunan Industri Sukan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Azizi Azran Abdullah berkata expo tiga hari tersebut bakal dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin pada jam 9.30 pagi Sabtu.

“Expo yang dianjurkan KBS dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat umum mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh industri sukan dalam meningkatkan sumber ekonomi negeri dan negara.

“Di samping itu, EIS 2024 turut memberi peluang kepada pemain industri sukan (pengeluar, pengedar dan penyedia perkhidmatan sukan) terutama yang terdapat di Sabah untuk mempamer dan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada umum.

“Dengan 38 pempamer yang telah mendaftar, termasuk pemain utama dari pelbagai agensi sukan, expo ini turut dilihat sebagai wadah untuk memupuk kerjasama dan pertumbuhan dalam ekosistem sukan tempatan melalui penglibatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta,” ujarnya kepada media selepas sesi temu bual di Konti SABAHfm kendalian DJ Eclaire, semalam.

Beliau yang juga Ketua Projek EIS 2024 berkata expo pada kali ini mampu menyasarkan pulangan pelaburan (ROI) adalah sebanyak RM5 juta dengan perjanjian awal yang menunjukkan potensi antara RM8 hingga RM9 juta kepada penggiat industri sukan tempatan.

Ujar beliau, penganjuran kali ini lebih menekankan penyertaan lokal, dengan kebanyakan pempamer berasal dari Sabah dan ini mencerminkan komitmen KBS dan KBSS untuk memperkasakan perniagaan tempatan dan meningkatkan visibility para penggiat industri sukan Sabah di platform nasional dan antarabangsa.

“Kepada para pengunjung, expo kali ini dibuka bermula dari 10 pagi hingga 10 malam dengan menjanjikan pelbagai aktiviti menarik.

“Selain 38 reruai, sepanjang expo berlangsung para pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti antaranya kejohanan E-Sport Borneo (MLBB, E-Racing, E-Football & Tekken 8), Mega Aerodance Borneo, Lompat Tali Borneo, Kayuhan Borneo dan Larian Borneo serta tarikan utama iaitu penganjuran Borneo Island International Big Bike Festival yang bertujuan mempromosikan budaya sukan dan sukan permotoran yang sering menjadi tumpuan masyarakat di negeri ini,” jelasnya.

Beliau juga berharap agar inisiatif berkenaan mampu mengangkat nama Sabah melalui penganjuran acara-acara ikonik ke peringkat yang lebih tinggi seperti mana penganjuran Borneo International Marathon yang saban tahun mendapat sambutan yang menggalakan.

Hadir sama Pengurus SABAHfm Felix Lee Leng Pink serta Pegawai Belia dan Sukan Negeri Sabah Fredah Sulin. — JABATAN PENERANGAN SABAH