Advertisement

Kerajaan Beri Perhatian Terhadap Bahasa, Sastera

Arifin
Penyempurnaan gimik perasmian oleh Ariffin (dua dari kiri) dengan disaksikan oleh Kadzim (kiri) – ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Sabah sentiasa memberikan perhatian terhadap bahasa dan sastera di negeri ini kerana ia elemen yang mampu membentuk peribadi, dan ketamadunan bangsa bagi melahirkan bangsa yang bercitra dan beracuan sendiri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata dalam usaha menguasai seberapa banyak bahasa, namun pemartabatan bahasa kebangsaan tidak harus diketepikan atau diperlekeh.

“Saya berharap rakyat akan terus mengutamakan bahasa kebangsaan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk paparan di tempat awam, komunikasi dan dokumentasi di institusi kewangan, perbankan, iklan, pasar raya, projek-projek pembangunan, projek komersial, taman perumahan, institusi pendidikan dan sektor kerajaan,” ujarnya dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Menurut Hajiji, DBP Cawangan Sabah melalui projek kosa kata bahasa sukuan telah berjaya mengetengahkan beberapa kosa kata sukuan negeri ini dan dirakamkan sebagai salah satu entri di dalam Kamus Dewan.

Antaranya kata ‘kerop’ daripada bahasa Kadazan yang membawa maksud bulu mata palsu dan ‘meridap’ daripada bahasa Bajau untuk maksud tidur atau lelap sekejap.

“Kita berasa bangga kerana turut sama menyumbang ke arah memperkasa kosa kata bahasa kebangsaan.

“Masih banyak kosa kata etnik yang boleh diketengahkan lagi memandangkan Sabah mempunyai 35 etnik dan 217 sub-etnik yang berkomunikasi dalam lebih daripada 50 bahasa,” jelasnya.

Beliau berharap lebih banyak usaha dilakukan untuk mengetengahkan kosa kata sukuan daripada etnik lain di negeri ini untuk dimasukkan sebagai salah satu entri di dalam Kamus Dewan.

Menurutnya, Bulan Bahasa Kebangsaan merupakan usaha kerajaan untuk menyemarakkan rasa cinta masyarakat terhadap bahasa kebangsaan melalui pelbagai program yang dirancangkan.

“Memperkasakan bahasa kebangsaan juga bermakna mendukung Perlembagaan Negara yang memaktubkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

“Program itu juga platform untuk mendidik masyarakat berbilang bangsa agar dapat dihayati seterusnya memartabatkan bahasa kebangsaan yang sejak sekian lama telah berperanan penting sebagai bahasa ilmu, bahasa pengantar pendidikan, bahasa perpaduan dan bahasa kemajuan bangsa serta tonggak pembinaan negara bangsa,” katanya lagi.

Pada majlis itu, Muhammad Azamuddin Mohd Azrone dinobatkan sebagai johan pertandingan Sayembara Menulis Artikel manakal Dr Jamail Masador dan Dr. Dg. Junaidah Awang masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Selain itu, Ariffin menyampaikan hadiah utama bagi Anugerah Terampil Bahasa Sektor Awam kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri manakala Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah pula diberikan hadiah penghargaan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Kementerian Kerja Raya Sabah, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Sabah pula menerima hadiah galakan.

Di samping itu, pemenang-pemenang bagi Pertandingan Buku Skrap yang disertai oleh pelajar-pelajar sekolah rendah dimenangi oleh Christavalenie James dari SJK(C) Yick Nam, Inanam dinobatkan sebagai johan sementara Muhammad Kely dari SJK(C) Lok Yuk Menggatal di tempat kedua manakala, Fateh Raudah Sahrin dari SJK(C) St. James, Kota Kinabalu di tempat ketiga.

Antara yang turut hadir dalam majlis itu adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mansur Asun dan Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Rusmadi Baharudin. — JABATAN PENERANGAN SABAH