TAWAU: Seorang lelaki dipercayai ‘transporter’ berusia 23 tahun ditahan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah (OBPJ) selepas pihak polis menemui dadah jenis syabu seberat 512.90 gram di dalam sebuah alat pembesar suara di tepi Jalan kawasan Kampung Wakuba, Tawau, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, penahanan suspek warga asing itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Tawau selepas suspek dilihat mengunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, suspek cuba bertindak melarikan diri dan berlaku pergelutan ketika pihak polis menghampiri suspek.
“Pemeriksaan lanjut, pihak Polis menemui sebuah alat pembesar suara yang disimpan di dalam plastik yang dipegang suspek.
“Hasil pemeriksaan di dalam alat pembesar suara tersebut, menjumpai sepuluh peket plastik lutsinar berlainan saiz berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 512.90 gram yang dianggarkan bernilai RM30,930.00,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menjadi ‘transporter’ barang terlarang tersebut untuk dikirimkan kepada seseorang di sekitar daerah ini.
Tambahnya, suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika didapati bersalah. Polis juga turut menyita motosikal yang digunakan suspek.
Sementara itu, Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah (OBPJ) yang bermula sejak rabu lalu diselaraskan Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), IPD Tawau melibatkan tujuh pegawai kanan dan 76 anggota pelbagai Bahagian, Cawangan dan Balai Polis berjaya menahan 8 orang berkaitan dadah dan 4 orang berkaitan jenayah termasuk jenayah pecah rumah dan kekerasan.
Ujarnya, pihak Polis menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dan menyalurkan maklumat yang dapat membantu mengekang jenayah di kawasan masing-masing.
Katanya, PDRM Tawau akan terus mempergiatkan operasi ini demi memastikan daerah Tawau bebas daripada sebarang ancaman jenayah dan dadah.