Advertisement

SESB Dijenamakan Semula Kepada Sabah Electricity, Pacu Pembangunan Sabah, WP Labuan

KOTA KINABALU: Sabah Electricity telah melaksanakan penjenamaan semula bertujuan untuk meneruskan aspirasi syarikat dalam memperkukuhkan sistem perkhidmatan bekalan elektrik kepada rakyat di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sabah Electricity yang sebelum ini dikenali sebagai Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bertekad untuk sentiasa memberikan perkhidmatan yang berdaya harap.

Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, penjenamaan yang dilaksanakan adalah satu langkah strategik dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan masa kini dan di masa akan datang.

“Penjenamaan semula bukan hanya tentang menukar logo atau warna korporat tetapi melibatkan imej dan identiti syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Pelancaran Penjenamaan SESB, Kaunter Perkhidmatan Pengguna Kota Kinabalu dan Nombor Talian Aduan (Careline) 15444 di sini, hari ini.

Menurut beliau, Sabah Electricity kini mengorak langkah sebagai satu pasukan yang bersatu padu, progresif dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Madius berkata bahawa masa depan tenaga adalah berpaksikan kepada sumber tenaga hijau dan Sabah Electricity komited untuk menjadi sebahagian daripada transisi ini.

“Kita mahu mencapai net zero carbon emissions dalam operasi kita dan ini adalah keutamaan dalam pelbagai dasar dan inisiatif, termasuklah dalam program CSR kita yang akan menekankan aspek kelestarian alam sekitar,” katanya lagi.

Manakala itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Ir.Ts. Mohd Yaakob Hj. Jaafar berkata, Kaunter Perkhidmatan Pengguna Kota Kinabalu mula beroperasi di Bangunan KWSP pada 21 Oktober, 2024.

“Sabah Electricity tampil dengan wajaha yang baharu dan menyediakn kaunter perkhidmatan pengguna yang lebih kondusif, selesa, ceria dan moden untuk memudahkan pengguna berurusan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di majlis itu.

Beliau turut berkata bahawa perubahan nombor talian Careline 15454 kepada 15444 turut dilaksanakan untuk memudahkan panggilan pengguna disalurkan terus ke Pusat Perkhidmatan Pelanggan dan tidak lagi melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada waktu panggilan puncak.