KOTA KINABALU: Seorang eksekutif jualan menghilangkan diri dari rumahnya di Kolombong sejak malam Rabu dengan meninggalkan nota ucapan selamat tinggal.
Tindakan Ady Joe Ting Shu Chun, berusia 36 tahun itu dikatakan selepas menjadi mangsa penipuan bank pada bulan Mei lalu yang merugikan sejumlah wang besar.
Menurut kekasihnya selama lapan tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Lisa, 39, mereka baru sahaja dari keluar membeli makanan dalam insiden 10 malam itu.
“Apabila kami pulang ke rumah, dia memberitahu saya dia terlupa sesuatu berkaitan kerja di dalam keretanya dan turun untuk mengambilnya.
“Selepas sejam berlalu saya menyangka dia terlupa kad aksesnya kerana dompet dan telefonnya ada di rumah.
“Tetapi apabila saya turun untuk memeriksa, dia dan Proton Saganya (nombor pendaftaran SW 1189) telah tiada,” katanya ketika dihubungi.
Lisa berkata dia masuk semula ke dalam rumah dan mendapati sekeping kertas diletakkan pada komputer riba lelaki itu.
Ia berbunyi: “Bantu saya siarkan dalam Facebook. Maaf kawan-kawan, apabila anda melihat siaran ini saya percaya saya sudah menamatkan hidup saya dan mungkin jasad juga tidak dapat ditemui.
“Tetapi di sini saya harap dapat meninggalkan kenangan kepada semua orang yang sudah ada di dunia ini sebelum ini.
“Maaf kalau saya buat awak marah sebelum ini dan harap awak semua dapat maafkan saya.
“Terima kasih kalau awak tolong saya dan sayang saya. Saya bersyukur untuk itu. Jumpa lagi di akhirat”.
Lisa berkata laporan polis telah dibuat oleh kakak lelaki terbabit di Balai Polis Inanam pada pagi Khamis.
“Saya kenal Ady sebagai seorang yang baik hati. Walaupun dia tidak cukup dia akan membantu orang lain terutamanya warga emas.
“Kami sangat bimbang tentang dia. Tiada yang lebih penting bagi kami sekarang selain keselamatannya.
“Masa adalah penting dan kami berharap pihak polis dan orang ramai dapat membantu kami mengesannya,” katanya.
Mengikut nasihat polis, beliau berkata dia dan ahli keluarga serta rakan-rakan Ady terus membuat ‘posting’ Facebook berkenaan kehilangannya sehingga beliau ditemui semula.
Mengikut ‘posting’ terkini anak saudara mangsa, Rain Rerain, tindakan itu adalah tepat.
Pada petang Khamis, seorang netizen dikatakan telah menemui kenderaan lelaki itu dan menghubungi ahli keluarganya yang kemudian menemui Ady di lokasi dalam keadaan selamat.