KOTA KINABALU, SABAH – Penganjuran Rhythm of Kinabalu (ROK) 2024 edisi yang ke-10 akan membawa konsep world music pada tahun ini.
Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKKN) Sabah, Jasmi Rasit, ROK merupakan Program Pelancongan Budaya (Culture Based Tourism) yang menjadi program teras JKKN di peringkat negeri.
“Dengan penganjuran ROK ini dapat mengangkat keunikan seni budaya setempat bagi tujuan memulihara serta mengekalkan warisan seni budaya negara, di samping menjana ekonomi melalui seni dan budaya.
“Program ini juga dapat menyemarakkan dan memelihara kesenian tradisi khususnya di Sabah bagi masyarakat dengan menonjolkan kegiatan seni budaya yang terdapat di negeri ini.
“Selain itu, ROK merupakan platform dan peluang kepada penggiat seni dan kumpulan muzik tradisional mempersembahkan karya seni yang berkonsepkan world music,” katanya kepada media selepas menjadi tetamu di SabahFM, pada Jumaat.
Jasmi turut memaklumkan, ROK 2024 yang bermula pada hari ini (25 Oktober) sehingga Ahad diadakan di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu turut menampilkan pelbagai program selain hiburan dari artis tempatan dan luar negara.
“Antara program yang akan diadakan adalah ROK World Muzik GALA ’24, ROK Art Bazar, ROK Music Workshop dan ROK Business Matching di mana pengunjung boleh mempelajari atau mencari platform untuk mengembangkan lagi bakat yang sedia ada.
“Selain itu, ROK 2024 bakal menampilkan artis antrabangsa dari Korea Selatan membuat persembahan disamping beberapa artis tempatan seperti Elica Paujin turut akan menghiburkan para pengunjung,” ujarnya.
Beliau juga memberitahu matlamat utama penganjuran ROK2024 adalah untuk merayakan selain mempromosikan budaya Sabah kepada masyarakat luar bagi memastikan generasi akan datang dapat memahami serta menghargai seni, budaya dan warisan yang ada.
Jasmi berharap agar ROK2024 dapat menarik lebih ramai pengunjung sama ada dari dalam dan luar negara selain dapat memperkukuhkan identiti serta menjalin persahabatan antara pelbagai budaya. — JABATAN PENERANGAN SABAH