Advertisement

2,000 Anak Ayam, Itik Diserah Kepada Penternak





Madius
Wilfred (duduk, tengah) bergambar bersama para penternak yang hadir menjayakan program tersebut ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Sebanyak 2,000 anak ayam dan itik diserahkan kepada penternak dari 10 kampung terpilih di sekitar Daerah Kecil Kiulu.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, pengagihan tersebut sebagai sokongan kerajaan membantu memperkukuh industri ternakan di pekan-pekan kecil.

“DVS SABAH telah menyediakan secara percuma 1,000 anak itik dan 1,000 anak ayam yang akan diserahkan kepada 10 buah kampung terpilih di daerah ini.

“Ini adalah satu tanda sokongan dan komitmen kerajaan untuk membantu membina semula dan memperkukuhkan industri ternakan di pekan kecil seperti Kiulu, pemberian bibit anak ayam dan Itik ini mewakili satu permulaan baru dalam kalangan kita semua, dan saya percaya ia akan membawa kesejahteraan kepada keluarga anda pada masa akan datang.

“Penternakan ini turut meningkatkan pendapatan sesebuah keluarga dan menaikkan taraf ekonomi masyarakat luar bandar selain daging ayam dan itik adalah salah satu menu yang sering dihidangkan kepada keluarga dalam majlis-majlis dan perayaan,” ujarnya ketika berucap merasmikan Program Gabungan NDV4 dan Kempen Kesedaran Awam 2024 di Dewan Masyarakat Kiulu pada Sabtu.

Wilfred turut mengajak para penternak luar bandar memperkukuh keupayaan mereka mengurus kesihatan ternakan agar membiak dan membesar dengan baik.

“Kesihatan ternakan anda berkait rapat dengan kesihatan keluarga dan komuniti, dengan mengambil tindakan sekarang untuk mencegah penyakit, ia bukan sahaja melindungi ternakan tetapi juga melindungi masa depan anda serta rezeki para penternak.

“Walau bagaimanapun, manfaat ini sentiasa terancam oleh penyakit seperti Penyakit Newcastle, yang boleh merebak dengan cepat dan memusnahkan seluruh ternakan jika tidak dikawal.

“Justeru, melalui program hari ini ( semalam ) kita memperkenalkan vaksin yang akan melindungi ternakan ayam dan itik kita daripada Penyakit Newcastle dan memastikan penduduk Kiulu dapat terus bergantung kepada ternakan mereka untuk masa depan yang mampan.

Saya menggalakkan setiap daripada anda untuk bersikap proaktif dalam melindungi ternakan anda dengan mengamalkan apa yang anda pelajari hari ini, bekerjasama dengan pakar veterinar, dan berkongsi pengetahuan ini dengan jiran-jiran anda,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr. Mary Josephine, Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging dan Penolong Pegawai Daerah Tamparuli, Hannevy Harry. — JABATAN PENERANGAN SABAH






Previous articleMIDE Sasar RM50 Juta Jualan IKS

Sabah News adalah sebuah medium berita yang menarik yang adil dan kontroversi yang hanya memaparkan berita sebenar dan tular serta bagi tontonan umum.