KUALA LUMPUR – Spekulasi status rumah tangga Que Haidar terjawab apabila beliau mengesahkan bercerai talak satu dengan isteri, Linda Jasmine, pada 2 Julai lalu.
Memetik sumber Berita Harian, biarpun sudah membawa haluan sendiri, Que atau nama sebenar, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 45, memberitahu, mereka masih menjalin hubungan baik.
“Allahuakbar, Alhamdulillah itu (perceraian) yang Allah tentukan… Itu yang Aturkan. Saya minta semua doakan yang baik-baik untuk saya dan Linda. Tetapi kami masih baik, tiada siapa yang mahu bercerai.
“Mungkin ini yang terbaik, kami masih berkawan demi anak-anak. Perceraian kami berlaku pada 2 Julai lalu,” katanya ditemui pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.
Que dan Linda dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar, 15, dan Tengku Cleopatra Haidar, 12 tahun. – Foto IG
Que dan Linda dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar, 15, dan Tengku Cleopatra Haidar, 12 tahun. – Foto IG
Ditanya mengapakah tidak menghebahkan lebih awal berita perceraian itu, pelakon filem Ophilia itu menyifatkan perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsi.
“Perkara berkaitan perceraian adalah sangat peribadi dan bukannya untuk dibanggakan. Jadi lebih baik kita simpan sendiri, doa yang baik-baik dan saling menyokong antara satu sama lain.
“Maksudnya apa sahaja yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak dan anak-anak. Tidak ada benda yang perlu diuar-uarkan atau dikongsi,” ujarnya.
Mengulas punca perceraian, Que yang memenangi trofi Pelakon Pembantu Lelaki Drama Terbaik ASA 2024 melalui drama Lebai Sampan, dilihat agak keberatan untuk menjelaskannya.
Bagaimanapun, Que menyifatkan apa yang berlaku adalah suratan takdir dan keputusan itu dibuat dengan cara baik.
“Hubungan kami berlangsung dengan baik dan tiada perbalahan berlaku. Apa yang boleh dikatakan kami sudah tiada persefahaman.
“Keputusan ini juga dibuat secara sepakat. Alhamdulillah anak-anak juga menerima keputusan kami ini dengan matang,” katanya.
Que dan Linda yang juga guru seni tari dan tenaga pengajar program realiti, Akademi Fantasia (AF) mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar, 15, dan Tengku Cleopatra Haidar, 12 tahun.