SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing hari ini dijumpai maut selepas dilaporkan hilang di sungai ketika sedang menangkap ikan di Ladang Pinang pada pagi Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 11.27 pagi tadi.
“Menurut pemanggil, mangsa keluar pada jam 6 pagi Ahad menggunaakn bot untuk menangkap ikan dan belum pulang ke rumah.
“Orang kampung membuat pencarian awal dan telah menjumpai bot mangsa tanpa pengemudi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya, mangsa yang berusia 60 tahun itu akhirnya berjaya dijumpai oleh orang kampung pada jam 1.30 petang di jarak 1 kilometer dari lokasi bot mangsa.
“Mangsa seterusnya disahkan meninggal dunia oleh pihak polis sebelum pasukan bomba bertindak mengambil mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.