TAWAU, SABAH – Pemandu sebuah kenderaan Isuzu D-Max yang terjatuh ke dalam sungai di Batu 2, Jalan Apas awal pagi Ahad disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tawau hari yang sama.
Mangsa Mohd Azrul Shah Abraham, 31, dipercayai memandu kenderaan terbabit dengan laju sehingga menyebabkan hilang kawalan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 5.50 pagi.
Katanya, mangsa dari arah Kudat menuju ke Pasar Ikan Tawau dengan membawa muatan pelbagai jenis ikan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang besi jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan media.
Laporan awal Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata mangsa yang meninggal dunia telah dikeluarkan oleh orang awam manakala pemandu dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat daerah.
Kedua-dua mangsa terbabit dihantar ke Hospital Tawau.
“Pemandu hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pembantunya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tawau,” katanya.
Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan melulu sehingga menyebabkan kematian.