Advertisement

Kuasai Teknologi Moden Bantu Keterjaminan Makanan-Jeffrey

Peto
Peto (tengah) menerima cenderakenangan daripada Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Leonerd Stephen Poyong ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Peladang, penternak dan nelayan diseru menguasai penggunaan teknologi moden bagi membantu hasrat kerajaan ke arah keterjaminan makanan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata teknologi dan inovasi perlu diterapkan dalam sektor pertanian bagi mencapai hasrat tersebut.

“Pameran pada kali ini banyak memfokuskan kepada teknologi terkini yang dapat mengurangkan kos pengeluaran, menjimatkan tenaga dan masa, meningkatkan kecekapan pengurusan, produktiviti serta kualiti penghasilan produk,” ujarnya.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah II, Datuk Peto Galim semasa Majlis Penutupan Sambutan HPPNS 2024, pada Ahad.

Menurutnya, nilai hasil jualan produk sepanjang tiga hari HPPNS 2024 mencecah RM100,000 dengan kehadiran 10,000 pengunjung.

Selain pameran dan jualan produk keluaran usahawan tani tempatan, HPPNS 2024 juga turut menganjurkan Seminar ICT 2024 yang menekankan kepentingan aplikasi inovasi terkini.

Perbincangan seminar antaranya bertajuk, “Kepintaran Buatan (AI), Data dan Keselamatan Siber”, “Aplikasi e-SMART”, “Memacu Masa Depan Nelayan Dengan Pendigitalan” serta “Multi Sensors For Chicken Welfare Monitoring.” — JABATAN PENERANGAN SABAH