Advertisement

36 Maut Dalam Insiden Bas Jatuh Gaung Di Utara India

Bas
Kemalangan bas di Uttarakhand, India mengakibatkan 36 orang maut ( Sumber Foto: AFP )

NEW DELHI, INDIA – Sekurang-kurangnya 36 orang maut dalam kemalangan bas di Uttarakhand, India, semalam.

Memetik sumber Bernama, kenderaan itu terjatuh ke dalam gaung di kawasan Marchula, daerah Almora, kira-kira 250 kilometer (KM) dari ibu negeri Dehradun.

Bas berkenaan dari Garhwal, bandar di utara India ke Ramnagar, wilayah Kumaon di kawasan pergunungan membawa lebih ramai penumpang daripada kapasiti 45 orang, menurut laporan media tempatan.

Ramai penumpang yang cedera dimasukkan ke pelbagai hospital untuk mendapatkan rawatan.

Kerja dan operasi penyelamatan awal dilakukan oleh penduduk setempat sebelum petugas agensi bencana tiba di lokasi kemalangan.

“Saya mengucapkan takziah yang mendalam kepada mereka yang telah kehilangan orang tersayang dalam kemalangan jalan raya yang malang di Almora, Uttarakhand. Saya juga berdoa untuk pemulihan cepat semua yang cedera,” kata Perdana Menteri, Narendra Modi.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami mengarahkan satu siasatan dilakukan ke atas bencana berkenaan.

India mempunyai antara negara mempunyai rekod keselamatan jalan raya terburuk di dunia.

Sebanyak 461,312 kes kemalangan jalan raya direkodkan di negara berkenaan pada 2022, mengakibatkan 168,491 kematian dan mencederakan 443,366 orang, menurut data rasmi.

Kebanyakan kemalangan disebabkan oleh kemahiran memandu yang lemah, jalan yang teruk akibat tidak diselenggara, dan kenderaan yang sudah tua.