KOTA KINABALU, SABAH – Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menerima kunjungan hormat Panglima Armada Timur, Laksamana Muda Datuk Pahlawan Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy.
Menurut Ruzelme, kunjungan tersebut bertujuan memaklumkan persaraannya dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuatkuasa 15 Jun 2025 depan.
“Tujuan kunjungan adalah untuk memaklumkan kepada Tun Juhar berkaitan persaraan saya selaku Panglima Armada Timur yang kelima yang mana saya akan bersara daripada perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 15 Jun 2025, namun akan bercuti bermula 1 Disember 2024 sehinggalah tarikh persaraan.
“Secara keseluruhannya, hampir tujuh tahun saya berkhidmat di Sabah termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan bermula tahun 2000 hingga 2002.
“Saya berpeluang untuk berkhidmat di Kem Sepanggar bermula 2008 sehingga 2010 dan yang terkini sebagai Panglima Armada juga di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar mulai Januari 2023 sehingga tarikh bermula cuti saya iaitu 1 Disember 2024,”katanya ketika ditemui di Istana Seri Kinabalu pada Khamis.
Beliau mengakui seronok bertugas di Sabah dalam tiga pertugasannya dan mendoakan agar Sabah terus maju jaya. — JABATAN PENERANGAN SABAH