Advertisement

KTC Sumbang RM1 Juta Lampin Untuk Kanak-Kanak B40 Sabah – Sabah News

Ktc
Dexter (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan lampin pakai buang kepada Linda (tengah) – ( Sumber Foto: Ihsan KTC )

KOTA KINABALU, SABAH – Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) menyasarkan untuk menyumbang RM1 juta untuk memberi lampin pakai buang (pampers) percuma kepada kanak-kanak daripada keluarga B40 di seluruh Sabah menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Pengarah Urusan KTC, Datuk Dexter Lau memaklumkan ini pada majlis penyampaian sumbangan 1,000 lampin pakai buang untuk kanak-kanak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang yang diadakan di pejabat KTC di Kolombong, di sini hari ini.

Sumbangan tersebut diterima oleh isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang, Datin Seri Linda Ewit.

Dexter berkata, pihaknya akan menghubungi semua ADUN bagi menyalurkan sumbangan ini.

Katanya, KTC komited memberikan yang terbaik kepada seluruh kawasan di negeri ini.

“Kami mahu memberi yang terbaik dan ini akan menjadikan KTC lebih proaktif kepada rakyat melalui Kerajaan,” tambahnya.

Beliau berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban ibu bapa daripada golongan B40 yang mempunyai anak kecil.

Sementara itu, Linda mengucapkan terima kasih kepada Dexter dan KTC atas sumbangan untuk keperluan kanak-kanak di Sabah.

“Sumbangan lampin pakai buang itu akan diedarkan kepada ibubapa kanak-kanak di dalam Kundasang,” kata Linda.

Linda juga berharap KTC akan terus maju dan dapat mencapai sasarannya.