PAPAR, SABAH – Keputusan mengenai gabungan parti yang bakal bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) perlu diserahkan sepenuhnya kepada pemimpin parti dari negeri itu.
Memetik sumber Berita Harian, menyuarakan perkara itu, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata tidak perlu ada sebarang paksaan daripada mana-mana pemimpin luar.
Katanya, sebarang bentuk paksaan untuk meminta mana-mana parti atau gabungan parti supaya bekerjasama dikhuatiri boleh membawa kesan terhadap pola pengundian rakyat pada PRN itu nanti.
“Bagi saya yang memutuskannya biarlah orang Sabah, pemimpin Sabah sendiri, jangan ada paksaan daripada mana-mana pihak luar untuk menentukan atau mencatur siapa bergabung dengan siapa.
“Sebab orang Sabah ini tidak boleh dipaksa. Kalau pilihan raya, kitapun tahu daripada dulu kalau dipaksa, ada orang calon bebaspun boleh menang bertanding.
“Jadi biarlah segala keputusan gabungan itu ditentukan oleh kepemimpinan kita di Sabah,” katanya ditemui media selepas tinjauan situasi trafik di Jalan Lok Kawi – Papar, dekat Kinarut, di sini, hari ini.
Beliau mengulas isu kerjasama antara GRS dengan parti lain, khususnya Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi PRN17 yang dijangka tidak lama lagi.
Katanya, dalam proses demokrasi, mana-mana parti boleh menentukan dengan siapa untuk mereka bergabung sebagai satu pasukan atau blok politik pada pilihan raya itu nanti.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, selain penentuan keputusan oleh pemimpin negeri, matlamat penting ialah memastikan gabungan itu bukan saja memenangi pilihan raya, malah dapat mewujudkan kerajaan yang stabil, harmoni dan boleh bekerjasama.
“Di Sabah ini rakyat kita memerlukan kerajaan yang stabil, komited dan kita mahu membina satu bentuk atau struktur hubungan di antara kerajaan negeri dan Persekutuan yang lebih kondusif.
“Kita mahu supaya satu hari nanti kita di Sabah ini tidak payah terus meminta dan merayu kepada kerajaan Persekutuan tetapi dengan hak dan hasil yang ada serta ekonomi yang kuat, kita sendiri ada kekuatan untuk melaksanakan apa-apa projek yang perlu untuk rakyat kita di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata jika ada mana-mana parti ingin merintis kerjasama dengan GRS, khususnya parti lawan, mereka perlu menunjukkan minat ke arah itu dari sekarang.
“Sekarang kita ada tempoh setahun lagi (sebelum PRN), jadi bekerjasamalah dengan kerajaan. Tunjukkan keikhlasan itu, bukannya mahu bekerjasama tapi setiap hari memaki-hamun dan hentam kita.
“Kalau beri kritikan yang konstruktif tiada masalah, tidak ada isu tetapi kadang-kadang bercakap seolah-olah orang tertentu ini tidak pernah memegang jawatan dalam kerajaan, tidak pernah ada kuasa.
“Contohnya, cerita pasal migrasi, berapa lama sudah orang kita di Sabah yang terpaksa bekerja di Semenanjung, bukan masa GRS saja, malah sejak berpuluh tahun sudah termasuk rakyat dari kawasan orang yang bercakap itu,” katanya.