KOTA KINABALU, SABAH – Karya Perdana Tahunan Negeri Sabah (KPTNS) 2024 mencatatkan 1,833 penyertaan sekaligus menjadi kedua terbanyak sepanjang 39 tahun penganjurannya.
Pada tahun ini, karya ‘Badi-badi Kota Belud’ dinobatkan sebagai pemenang Karya Perdana Kategori A (7-15 tahun) yang diolah oleh Av Mercy Binsin dari Sekolah Kebangsaan Sayap, Kota Belud dengan menggunakan cat akrilik dan poster atas papan.
Manakala Karya Perdana Kategori C (Terbuka) pula dimenangi oleh Kingfier Missin dengan hasil seni bertajuk ‘HUMINODUN: The Birth of Life’, menggunakan teknik jahitan, tampalan dan sulaman bagi menghidupkan bentuk tiga dimensi (3D).
Empat karya bagi Kategori Khas pula dipilih sebagai Karya Pilihan iaitu karya bertajuk ‘Kalam Antara Qalam’, ‘Hilang Ditelan Zaman’, ‘Humanity’ dan ‘Bah Ke Tamu Kitani! yang merupakan hasil karya Supinen Juhudin, Asnedi Maduni, Canie Peter Tan @ Kentan dan Ahmad Zawawi Yunus.
Selain itu, bagi Karya Pilihan yang layak menerima hadiah dalam Kategori A adalah sebanyak lapan orang, bagi Kategori B (16-20 tahun) hanya 10 Karya Pilihan dapat diberikan berdasarkan kepada kesimbangan kualiti yang dipersembahkan dan Kategori C pula sebanyak 10 karya dipilih berdasarkan keberkesanan karya masing-masing.
Hadiah keseluruhan bagi peringkat bahagian dan negeri berjumlah RM154,800 dan majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Balai Seni Lukis Sabah pada Jumaat.
Tema ditetapkan mengikut kategori iaitu bagi Kategori A, B dan C bebas menggunakan medium dan menghasilkan karya dengan aliran seni mengikut kemahiran dan kreativiti masing-masing, namun bagi Kategori Khas hasil seni wajib berkonsepkan aliran konseptualisme.
Jumlah karya diterima secara keseluruhan adalah 1,992 menunjukkan tahap kesedaran, kepekaan dan apresiasi masyarakat dalam bidang seni semakin meningkat.
Pameran Karya Perdana Tahunan Negeri Sabah pula akan diadakan bermula 15 November 2024 sehingga 09 Februari 2025 di Galeri Umum aras 3 dan Galeri Yaman aras 4 di Balai Seni Lukis Sabah.
Hadir sama, Isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Dikin Musah dan Pengarah Balai Seni Lukis Sabah, Sarah Elisya Ahmad Syah. — JABATAN PENERANGAN SABAH