KOTA KINABALU: Kadar unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) untuk tahun 2025 dijangka akan meningkat kepada sekitar 2.5 peratus kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata, dengan mengambil kira tren semasa ekonomi, kadar pertumbuhan KDNK bagi tahun ini diunjur semula kepada sekitar 2 peratus.
“Pertumbuhan KDNK Sabah adalah sederhana pada kada 1.3 peratus bagi tahun 2023 berbanding 3.9 peratus bagi tahun 2022.
“Pada masa yang sama, KDNK per kapita menurun daripada RM35,860 pada tahun sebelum kepada RM31,147 disebabkan oleh kadar pertumbuhan penduduk negeri yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 5.2 peratus, berbanding pertumbuhan ekonomi negeri sebanyak 1.3 peratus.
“Walau bagaimanapun, nilai KDNK Sabah mencatatkan peningkatan kepada RM83.2 bilion pada tahun 2023 berbanding RM82.1 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Masidi berkata, ini menunjukkan bahawa ekonomi negeri masih sedang berkembang dan kekal berdaya tahan.
Tambah beliau lagi, Sektor Perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama ekonomi negeri dengan sumbangan sebanyak 50.9 peratus pada tahun 2023.
“Ini diikuti oleh Sektor Perlombongan dan Pengkuarian sebanyak 23.3 peratus, serta Sektor Pertanian sebanyak 15.2 peratus.
“Manakala, Sektor Pembuatan dan Pembinaan pula masing-masing merekodkan sumbangan sebanyak 7.3 peratus dan 3.0 peratus kepada ekonomi negeri,” jelasnya.