KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Sabah membentangkan belanjawan negeri berjumlah RM 6.421 bilion untuk tahun depan, berbanding anggaran hasil negeri yang disasar mencapai RM 6.445 bilion.
Belanjawan itu yang dibentangkan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah petang semalam, menyaksikan lebihan sebanyak RM 24.08 juta.
Bertemakan Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera, Masidi berkata kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat amat berkait rapat berikutan tahap kemajuan ekonomi akan mempengaruhu taraf hidup rakyat.
“Dengan strategi mengagihkan peruntukan kepada sektor-sektor produktif dibawah Belanjawan ini, kerajaan yakin ekonomi negeri akan bertambah kukuh ke arah meningkatkan lagi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Katanya, tahun ini merupakan tahun kedua kerajaan negeri dapat mengekalkan pungutan hasil dibawah enam bilion iaitu sebanyak RM6.975 bilion.
Katanya, Hasil Cukai Sabah pada tahun depan dijangka dikutip menerusi Cukai Jualan Negeri (CJN) sebanyak RM2.597 bilion; Sewa Tanah (RM108 juta) dan Cukai Pelabuhan dan Dermaga (RM39.50 juta).
“Hasil Bukan Cukai pula merangkumi penyumbang utama seperti Royalti Petroleum sebanyak RM1.297 bilion; Jualan Air (RM304 juta); Faedah dan Perolehan dan Pelaburan RM512.47 juta, Premium Tanah (RM512 juta) serta Royalti Bayaran Keluaran Hutan dan Eksport Kayu Diproses RM134.50 juta,” katanya.
Menurutnya Kementerian Kerja Raya, RM1.097 bilion perbekalan, RM249.86 juta pembangunan. Jabatan Ketua Menteri, RM776.39 juta perbekalan, RM210.87 juta pembangunan.
“Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, RM373.24 juta perbekalan, RM148.13 juta pembangunan. Kementerian Pembangunan Luar Bandar, RM106.43 juta perbekalan, RM243.50 juta pembangunan.
“Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, RM227.69 juta perbekalan, RM19.32 juta pembangunan. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, RM181.35 juta perbekalan, RM14.65 juta pembangunan.
“Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, RM150.51 juta perbekalan, RM11.91 juta pembangunan. Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, RM128.20 juta perbekalan, RM27.07 juta pembangunan. Kementerian Belia dan Sukan, RM90.17 juta perbekalan, RM11.29 juta pembangunan.
“Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, RM29.15 juta perbekalan, RM34.90 juta pembangunan,” katanya.