KOTA KINABALU, SABAH – Penstrukturan jabatan kerajaan bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dan mengoptimumkan sumber bagi menambahbaik penyampaian perkhidmatan.
Setiausaha Persekutuan Sabah (SUP), Datuk Seri Rosli Isa berkata, pejabat SUP sedang merangka perancangan penstrukturan semula dan bertindak sebagai pemudah cara.
“Jabatan yang fleksibel dan cekap akan memastikan setiap usaha yang diambil dari pembuatan dasar hingga pelaksanaan lebih berkesan serta cepat dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Pada masa ini, cabaran digitalisasi serta keperluan perkhidmatan adalah lebih responsif, sudah tiba masanya untuk setiap jabatan melakukan penstrukturan semula bagi memperkasakan fungsi dan kekuatan masing-masing,” katanya semasa Mesyuarat Perhubungan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan Negeri Sabah, pada Khamis.
Beliau turut menzahirkan harapan agar jabatan/agensi persekutuan sentiasa bersedia beradaptasi dan berinovasi bagi memenuhi keperluan masyarakat yang pelbagai memandangkan Sabah sebuah negeri yang luas dan unik dari segi budaya.
“Ketua-ketua jabatan perlu memahami keperluan setempat dengan lebih mendalam serta bekerja dengan lebih erat dengan masyarakat setempat agar pembangunan yang diusahakan benar-benar memenuhi keperluan dan aspirasi bersama,” tambahnya lagi.
Rosli dilantik sebagai SUP baharu pada September lepas bagi menggantikan Datuk Makhzan Mahyuddin menzahirkan terima kasih terhadap kepimpinan lepas yang memimpin Pejabat SUP dengan baik sekali. — JABATAN PENERANGAN SABAH