KOTA KINABALU: Sebuah bandar baharu melibatkan kawasan seluas 157.48 ekar bakal diwujudkan di Kota Kinabatangan, Kinabatangan.
Majlis Daerah Kinabatangan dan Sunmow Construction Sdn, Bhd. telah menandatangani Perjanjian Usahasama bagi Pembangunan Bercampur Bandar Baharu Seri Milian pada majlis yang diadakan di Wisma Innoprise, di sini, pada Jumaat.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang menyaksikan upacara menandatangani perjanjian itu, berharap cadangan pembangunan tersebut akan membawa faedah kepada rakyat khususnya di daerah Kinabatangan.
Adalah dijangkakan pembangunan ini akan menjadi sebagai satu pusat pertumbuhan baharu di daerah Kinabatangan yang terancang dan mampu meningkatkan nilai hartanah di kawasan sekitarnya.
Selain itu, pembangunan ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat dengan adanya prasarana baru, pertambahan peluang pekerjaan dan seterus mampu meningkatkan pendapatan dan menaikan taraf ekonomi di kawasan setempat.
“Saya difahamkan dalam usaha untuk merealisasikan cadangan usahama ini, beberapa siri mesyuarat, perbincangan telah dibuat di peringkat daerah dan juga Kementerian yang melibatkan pihak Majlis Daerah, Pejabat Daerah, agensi-agensi kerajaan lain serta pemegang taruh di daerah Kinabatangan.
“Saya ucapkan tahniah dan syabas atas usaha anda semua sehingga membuahkan hasil. Walaupun ini adalah permulaan tetapi ianya adalah sesuatu yang amat bermakna dan saya pasti semua yang terlibat akan sentiasa memberi perhatian terhadap perkembangan yang dijangka akan membawa kepada kemajuan dan pertumbuhan pesat daerah Kinabatangan,” katanya.
Beliau juga berharap agar ini merupakan satu titik permulaan kepada sesuatu yang akan mendatangkan faedah dan dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat di daerah Kinabatangan.
Turut hadir Pembantu Menteri KKTP I dan II, Datuk Isnin Aliasnih dan Datuk Mohd Hamsan Awang Supain; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais dan Timbalan Setiausaha Tetap I, Stanley Chong.