Advertisement

Anugerah Tokoh Regatta Lepa Diperkenal – Sabah News





Joniston
Joniston (tengah) semasa sesi sidang media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Bagi memastikan sambutan Regatta Lepa 2024 sentiasa segar, Anugerah Tokoh Regatta Lepa diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun ini.

Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berkata penganugerahan tersebut adalah sebagai pengiktirafan terhadap individu yang telah memberi sumbangan besar dalam pembangunan budaya, tradisi dan sebagainya.

“Sumbangan bukan saja di peringkat negeri, tapi juga di peringkat nasional serta antarabangsa termasuk penglibatan dalam kerja-kerja amal,” katanya semasa Sidang Media Regatta Lepa 2024 yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Khamis.

Menurut Joniston, pihak penganjur juga telah menjemput penyertaan daripada Tuaran, Kudat dan Kota Belud terutama sekali bagi acara persembahan budaya di samping penyertaan daripada Nusantara.

“Harus sentiasa ada pemberharuan supaya sambutan ini sentiasa segar kerana Regatta Lepa ini sudah 29 tahun dan tahun depan sudah 30 tahun, saya percaya pihak penganjur akan memikirkan pengisian yang baru.

“Jadi ini adalah antara penambahan yang baru dan perlu dikenalkan pada tahun ini,” ujarnya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Julinus Jeffery Jimit dan Pegawai daerah Semporna Alexander Liew. — JABATAN PENERANGAN SABAH