KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau, Abqaree Fawwaz Abekan telah membuat laporan polis susulan satu video dimuatnaik di akaun TikTok milik ‘anak sabahan’ yang mendakwa Abqaree telah menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Abqaree ketika ditemui media berkata, beliau hadir ke Balai Polis Kota Kinabalu bagi menafikan dakwaan yang ditularkan itu.
“Kami hadir membuat laporan untuk menafikan tuduhan tersebut seterusnya membersihkan nama saya dan juga parti.
“Tuduhan tersebut merupakan tuduhan yang berniat jahat selain merupakan satu bentuk penganiayaan terhadap kami dan untuk menjatuhkan reputasi kami sebagai pemimpin di peringkat komuniti dan parti,” katanya di sini, hari ini.
Hadir sama adalah barisan pimpinan Pemuda Gagasan Rakyat bahagian Darau.
Tambah Abqaree, laporan telah selesai dibuat dan pihaknya akan menyerahkan sepenuhnya tindakan susulan kepada pihak polis untuk menyiasat individu yang menularkan fitnah tersebut.
“InsyaAllah selepas ini kami akan meneruskan lagi tindakan kami untuk melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM),” jelasnya.
Menerusi video tersebut, selain Abqaree, Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Pusat, Azrul Ibrahim turut difitnah menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan GRS.