Advertisement

Kerjasama Penjawat Awam Penting, Pacu Pembangunan Sabah – KPPA – Sabah News

Kppa
Anggota perkhidmatan awam Sabah mengambil kesempatan untuk merakamkan gambar kenangan bersama-sama dengan Wan Ahmad (duduk tengah) – ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerjasama erat penjawat awam persekutuan dan negeri penting dalam memacu pembangunan negeri Sabah.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, kerjasama tersebut penting bagi memastikan peruntukan dan pelaksanaan pembangunan di Sabah dapat dilaksanakan dengan berkesan serta lancar.

Dalam taklimatnya, beliau mengambil contoh negeri Sarawak, yang dilihat berjaya melaksanakan projek pembangunan dengan pantas dan tersusun.

Katanya, Sabah juga memiliki potensi yang sama dengan negeri Sarawak, namun memerlukan sinergi antara persekutuan dan negeri bagi mencapai matlamat pembangunan yang telah dijadualkan.

“Saya pasti rakyat di negeri ini juga mahu melihat pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah juga sama dari segi progres pelaksanannya dengan negeri Sarawak maknanya kita masih ada masa untuk mempastikan perkara ini dapat diselesaikan,” beliau berkata demikian pada Program Bitara INTAN Bicara Aspirasi H.E.M.A.T., pada Khamis.

Program berkonsepkan taklimat dan bual bicara yang bertemakan “Merealisasi Aspirasi Perkhidmatan Berprestasi Tinggi” itu turut menekankan pentingnya penerapan nilai-nilai H.E.M.A.T. sebagai kerangka utama reformasi perkhidmatan awam.

Dalam sesi tersebut, Wan Ahmad menggariskan kepentingan penghayatan nilai MADANI dan MALAYSIA sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri sebagai kayu ukur dalam memperkukuh tatakelola sektor awam.

Katanya sektor perkhidmatan awam harus terus berinovasi, berdaya saing, dan fleksibel dalam memenuhi keperluan rakyat dan menangani cabaran global yang kian mencabar.

“Kemajuan dalam bidang teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Kenderaan Elektrik (EV), dan Teknologi Hijau turut disorot sebagai perbatasan baharu atau ‘the new frontier’ dalam peradaban manusia memberi pengaruh kepada corak pemikiran.

“Rentetan itu, sistem dan tatakelola yang lapuk tidak mampu lagi untuk menangani isu-isu baru berikutan kemunculan teknologi terkini dalam dunia global,” katanya.

Selain itu beliau turut menyentuh berkenaan dengan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diluluskan oleh kerajaan baru-baru ini.

Jelasnya, SSPA melibatkan pelarasan gaji, pembangunan bakat, dan kemajuan kerjaya penjawat awam.

“Dengan peruntukan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus bagi kumpulan pelaksana serta kumpulan pengurusan dan profesional, dan kenaikan 7 peratus bagi kumpulan pengurusan tertinggi, JPA berharap penjawat awam dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang dan komited sejajar dengan peningkatan yang diberikan,” ujarnya.

Beliau turut menggalakkan penjawat awam persekutuan di Sabah agar tidak ragu-ragu memilih SSPA yang disifatkan sebagai satu langkah holistik dan berharap semua penjawat awam dapat membuat pilihan sebelum 30 November sebagai tanda komitmen terhadap usaha kerajaan mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam di negara ini.

Pada majlis ini juga, Wan Ahmad turut melancarkan Kursus Terbuka Dalam Talian H.E.M.A.T., sebuah platform pembelajaran dalam talian melalui e-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA) yang disediakan secara Massive Open Online Courses (MOOC).

Kursus tersebut bermatlamat bagi meningkatkan pemahaman dan penghayatan nilai-nilai H.E.M.A.T dalam kalangan penjawat awam melalui kaedah pembelajaran digital yang lebih mudah diakses dan fleksibel.

Lebih 1,000 anggota perkhidmatan awam persekutuan dan negeri menghadiri program tersebut yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Datuk Zainuddin Aman, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa dan Pengarah Wilayah INTAN Kampus Sabah Dr Muharrir Kamarudin. — JABATAN PENERANGAN SABAH