Advertisement

Polis Arah SKMM Turunkan Video Dan Artikel Tuduhan Skandal Rasuah ADUN Sabah – Fahmi – Sabah News

Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa pihak PDRM telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menurunkan video dan artikel berkaitan skandal rasuah ADUN Sabah yang dimuat naik oleh MalaysiaKini (MKini) baru-baru ini.

“Permintaan ini dibuat oleh PDRM, bagi mengelakkan gangguan kepada siasatan yang sedang berjalan. Bukan daripada saya atau timbalan saya (Teo Nie Ching),” jelas Fahmi kepada MKini.

Memetik laporan MKini, permintaan itu berkaitan video memaparkan ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari, yang mengadu mengenai ‘projek RM70 juta yang telah disekat’ dan menyalahkan ‘pasukan lama’ termasuk Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

“Dalam surat bertarikh 16 November, SKMM menyatakan bahawa artikel dan video tersebut boleh mengganggu siasatan polis berkaitan ugutan bunuh terhadap pemberi maklumat berkenaan serta menjejaskan keselamatan dan privasi individu berkenaan,” lapor MKini.

Semalam, Arsad menjelaskan bahawa perbualannya dalam rakaman yang disunting dan disebar dilakukan secara berseloroh dan bukan dalam konteks serius.

“Saya mengesyaki individu yang bertemu dengan saya mempunyai niat yang tidak jelas, dan atas tanggapan itu saya berbual secara sarkastik dan tidak formal.

“Oleh itu, adalah tidak wajar untuk merumuskan bahawa perbualan itu merupakan pengakuan atau tindakan yang bersifat melanggar undang-undang.

“Ia adalah komunikasi bersifat ringan, yang kini dimanipulasikan untuk memberi gambaran negatif terhadap saya.

“Tuduhan bahawa saya menerima komisen atau ‘jolok’ adalah satu fitnah yang tidak berasas dan direka untuk merosakkan reputasi saya di mata masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.