TASEK GELUGOR: Seorang lelaki tempatan dipercayai mabuk telah kehilangan bebola mata kirinya akibat dikorek seorang lelaki warga asing dalam kejadian pergaduhan berhampiran flat di Jalan Ara Kuda, di sini semalam.
Memetik laporan Kosmo, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 52 tahun dikatakan telah mengganggu suspek menyebabkan lelaki itu berang dan bertindak sesuatu di luar jangka.
Difahamkan, suspek yang berusia 28 tahun itu mengorek mata kiri mangsa menggunakan tangannya.
Suspek berjaya ditahan polis di lokasi kejadian manakala mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan.
Turut difahamkan, bebola mata kiri terbabit turut ditemui berhampiran mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman memaklumkan yang pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian itu sebentar nanti.