SANDAKAN: Seorang lelaki mengalami strok dilaporkan rentung dalam kejadian kebakaran sebuah rumah jenis tidak kekal di Jalan Batu Sapi Karamunting pagi tadi.
Mangsa, Jailan Jaimin, 35 tahun ditemukan dalam keadaan rentung di kawasan ruang tamu rumah yang terbakar 100 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.41 pagi.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 30×30 kaki terbakar 100 peratus dan turut terbakar beberapa buah kenderaan, iaitu lori Nissan 10 tan terbakar 80 peratus, manakala Nissan Sedan dan Proton Saga masing-masing terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dua aliran 200 kaki tiga pancutan dam sumber air jentera tanker.
“Ketua operasi melaporkan terdapat seorang mangsa ditemui dalam keadaan rentung di kawasan ruang tamu rumah sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Operasi pemadaman terkawal pada jam 9.27 pagi dan seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.35 pagi.