Advertisement

SABAH SEDIA JADI HUB KEMAJUAN TEKNOLOGI – KM HAJIJI

 

Hajiji
Hajiji melawat reruai selepas merasmikan “Supercharger Sabah 2024” di Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) – ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah sudah bersedia menjadi hab kemajuan teknologi dengan inovasi digalakkan dan dipupuk secara aktif, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, dalam dunia yang berkembang pesat hari ini, integrasi teknologi dan inovasi amat penting dalam pembangunan ekonomi.

Beliau berkata, Sabah komited untuk membangunkan ekonomi berorientasikan masa depan melalui inovasi.

“Dalam usaha untuk memacu negeri ini ke hadapan, kerajaan negeri telah merangka satu visi yang jelas untuk memastikan Sabah menjadi sebuah hab inovasi dinamik dan berdaya saing di rantau ini.

“Salah satu contoh usaha ini adalah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu Sektor Pertanian, Perindustrian, Pelancongan, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau,” katanya.

Beliau berkata demikiketika merasmikan “Supercharger Sabah 2024” di Pusat Islam,
Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.

Beliau mengambil contoh dalam sektor pertanian, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan lebih RM33 juta kepada Sabah pada bulan Julai lalu, dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan.

Dana itu penting untuk mengoptimalkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil produk agromakanan.

“Inisiatif seperti siri Program Supercharger yang memberi fokus utama dalam keterjaminan makanan, amat penting dalam usaha kita menghentikan kebergantungan import bekalan makanan.

“Justeru, seiring dengan Dasar Keterjaminan Makanan Nasional, Sabah berhasrat untuk meningkatkan tahap sara diri makanan dengan menggalakkan inovasi dalam pengeluaran tanaman, penternakan dan perikanan,” katanya.

Menurutnya, Sabah wajar perkasakan teknologi moden dalam sektor pertanian seperti penggunaan smart farming dan automasi ataumekanisasi untuk meningkatkan hasil dan kualiti produk, bukan sahaja untuk meningkatkan produktiviti, tetapi juga demi memastikan amalan pertanian yang mampan dan mesra alam.

Hajiji berkata, UMS telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk membantu industri dan masyarakat di Sabah melalui pengkomersialan inovasi mereka dan pemindahan pengetahuan kepada masyarakat.

“Tidak ketinggalan penyelidikan terkemuka seperti ‘hybrid grouper’, ‘monkey malaria’, dan banyak lagi. Pemilihan Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) UMS sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCOE) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia adalah kebanggaan rakyat Sabah dan bukti penyelidikan dan inovasi yang cemerlang oleh UMS”, tambahnya.

Katanya, UMS telah mewujudkan ekosistem yang komprehensif untuk memperkukuh
penyelidikan dan inovasi melalui penubuhan empat kluster penyelidikan iaitu Kejuruteraan
dan Teknologi, Perubatan dan Sains Hayat, Alam Sekitar dan Sains Gunaan serta Seni,
Sains Sosial dan Kemanusiaan.