Advertisement

Malam Citrawarna Tamu Besar Kota Belud 1 November Depan





Jainisah
Jainisah (kanan) berbincang kolaborasi bersama Nursyahirah (kiri) – ( Sumber Foto: Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Acara Malam Citrawarna Tamu Besar Kota Belud dijangka akan dirasmikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada pada 1 November depan.

Menurut Pengerusi Persatuan Kebajikan Amal Kasih Kota Belud, Datin Vinnie@Nursyahirah Abdullah, majlis juga bakal dihadiri Ketua Menteri Sabah dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Selain artis-artis tempatan, Pentarama dari Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah juga bakal membuat persembahan bagi menghiburkan orang ramai yang hadir di Padang Pekan Kota Belud.

“Malam Citrawarna juga akan memperagakan kepelbagaian dan keunikan busana-busana dari pelbagai etnik di Kota Belud akan diperagakan oleh bekas Unduk Ngadau, Undul Tindal serta Ratu Serimpak yang dijemput khas bagi acara tersebut,” ujar beliau.

Nursyahirah ditemui media selepas membuat kunjungan hormat kepada Pengarah JAPEN Sabah, Jainisah Mohd Noor di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi.

Beliau turut memaklumkan, selain acara utama pada 1 hingga 3 November 2024, turut diadakan Festival Tari Tempasuk di Dewan Al-Arsad Tempasuk pada 25 Oktober ini sebagai pembuka acara Tamu Besar Kota Belud.

“Dalam festival tersebut akan diadakan pertandingan akhir tarian etnik kreatif kategori sekolah menengah dan juga terbuka yang turut disertai peserta-peserta dari negeri lain seperti Johor serta Sarawak.

“Selain itu juga beberapa aktiviti turut diadakan yang menawarkan hadiah utama sebuah kereta kepada pengunjung yang bertuah nanti,” katanya lagi.

Beliau berharap kerjasama dengan agensi kerajaan seperti JAPEN Sabah akan dapat membantu memeriahkan lagi acara berkenaan, di samping menyampaikan informasi kepada orang ramai nanti. — JABATAN PENERANGAN SABAH