KOTA KINABALU, SABAH – Jetama Sdn.Bhd, anak syarikat Sabah Development Berhad (SDB) telah diberi kepercayaan oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan projek perintis “Solar-Powered Nano Filtration Drinking Water System” untuk membantu menyelesaikan isu masalah bekalan air minum di kawasan terpencil atau yang dilanda bencana.
Sistem penapis air solar mudah alih yang diinovasikan oleh Jetama akan dilaksanakan di tiga buah kampung iaitu Kampung Pulau Berhala Sandakan, Kampung Tanjung Batu Sukau dan Kampung Paris, Kinabatangan.
Pengerusinya Liau Fui Fui berkata Kerajaan Negeri telah mengamanahkan syarikat konsesi air itu melaksanakan projek perintis itu di kawasan-kawasan yang menghadapi masalah bekalan air bersih di negeri ini.
Menurutnya, sistem itu juga menggunakan tenaga suria dengan menggunakan panel solar untuk penjanaan tenaga kepada sistem rawatan air minum mudah alih ini.
“Dengan kelengkapan tersebut, sistem ini adalah mampan dan mudah alih, menjadikannya sesuai untuk lokasi terpencil yang tidak mempunyai akses tenaga grid.
“Penghasilan air minuman yang menggunakan sistem solar oleh Jetama ini terdiri daripada panel solar untuk menjana elektrik, yang seterusnya akan memberikan tenaga kepada sistem rawatan air untuk beroperasi”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada pameran sempena Persidangan Antarabangsa Ekonomi Biru Sabah 2024 (SIBEC 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan SIBEC 2024. Hadir sama ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Fui-Fui berkata, antara faedah sistem penapis air itu ialah ianya mesra alam kerana menggunakan tenaga suria iaitu sumber tenaga bersih dan boleh diperbaharui serta mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil dan meminimumkan pelepasan karbon.
“Selain itu, ia juga menjimatkan kos kerana setelah pemasangan, kos operasi adalah minimum kerana cahaya matahari adalah percuma, dan system ini juga tidak menggunakan bahan kimia. Justeru ianya amat berfaedah di kawasan yang terpencil yang tidak mempunyai akses kepada elektrik grid.
“Dari segi ketahanan, melalui penyelenggaran yang betul, panel solar dan penapis nano ini mempunyai jangka hayat yang panjang dan boleh menyediakan sumber air minum yang terawat, berkualiti dan selamat untuk diminum tanpa bekalan air melalui graviti atau telaga.
“Setiap pemasangan unit ini boleh menampung air minuman yang bersih kepada 5,000 hingga 7,500 orang berdasarkan penggunaan empat hingga enam liter setiap orang,” katanya.
Fui Fui berkata, penapis nano merupakan sistem penapisan termaju menggunakan teknologi nano untuk membuang zarah dan bahan cemar daripada air mentah.