Advertisement

“Kita Mesti Adil Kepada Semua” – Hajiji Terlalu Baik Dengan Musuh Politik?

KOTA KINABALU: Berbuat baik kepada semua pihak termasuk pembangkang tidak pernah dianggap sebagai satu kerugian mahupun liabiliti kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam mengemudi pentadbiran negeri.

Memetik laporan MalaysiaGazette, biar pun tindakannya meluluskan permohonan biasiswa pendidikan untuk anak pemimpin pembangkang mendapat kecaman banyak pihak namun beliau hanya tersenyum Ketika diajukan soalan itu.

Dengan nada lembut Hajiji mengatakan pendekatan itu perlu ada kepada seorang pemimpin.

“Sebagai pemimpin terutama sebagai ketua menteri, kita mesti adil kepada semua dan itu sepatutnya kita lakukan.

“Orang cakap saya baik tetapi saya ini tidak juga terlalu baik, tetapi saya cuba seadil mungkin kepada semua kaum tanpa mengira keturunan, kepercayaan, agama dan politik mereka.

“Itu saya cuba bawa kerana kita kena belajar daripada sejarah politik lalu, kalau kita bergaduh, kita akan lambat membangunkan Sabah,” katanya ketika temu bual eksklusif bersama MalaysiaGazette di Menara Kinabalu baru-baru ini.

BIASISWA KEPADA ANAK AZIS

Pada 8 September lalu, Hajiji mendedahkan Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman membuat permohonan biasiswa daripada kerajaan negeri untuk anaknya dan beliau meluluskannya atas dasar prihatin terhadap anak-anak Sabah.

Menyedari tindakannya yang terlalu baik kepada musuh politiknya, Hajiji mengakui beliau tidak berminat kepada amalan politik ekstrem sehingga memangsakan rakyat Sabah yang masih dibelenggu dengan masalah kemiskinan.

“Kalau kita cerita politik terlampau ekstrem, kita tidak dapat apa-apa, jadi mungkin sesuai dengan perwatakan saya.

“Kalau kita asyik kerana berebut itu dan ini, kita akan ketinggalan, jadi saya bawa pemikiran ini, bersatu padu dengan rakan-rakan lain bersama untuk membangunkan Sabah,” katanya.

Sebaliknya beliau lebih memberi fokus kepada pembangunan Sabah khususnya menambah baik kemudahan awam sedia dan membawa infrastruktur itu ke dalam kawasan luar bandar.

“Kita juga mahu mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat kerana rakyat mahu keamanan, keselesaan dan ketenteraman.Itu nombor satu.

“Kedua, perpaduan, ketiga kemudahan asas mesti sampai kepada mereka,” katanya.

Selain itu, Hajiji berharap pemimpin-pemimpin politik di Sabah berfikiran jauh ke hadapan, bersikap bijaksana dan matang demi kepentingan rakyat.

“Jangan kita terlalu memikirkan kepentingan kesukuan kita atau diri kita atau kita berfikiran kenegerian, kekampungan yang begitu menebal.

“Dunia hari ini tanpa sempadan, orang bercerita dunia, kalau kita cerita di sini kita punya keadaan sahaja, kita tidak melihat kepentingan negara dan perlu kita menceburi diri kita dalam pemikiran global umpamanya, kita akan ketinggalan.

“Kita mesti kikis pemikiran jumud, tidak kira pembangkang atau kerajaan, ini mesti difikirkan sebaik-baiknya untuk negeri dan rakyat,” katanya lagi.