Advertisement

Noktah Miskin Tegar Tanpa Diskriminasi

Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pendekatan kerajaan untuk menamatkan kemiskinan tegar adalah tanpa mengira kaum, dengan semua warganegara yang memerlukan bantuan akan disokong tanpa diskriminasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memetik sumber Harian Metro, Anwar berkata walaupun majoriti penduduk miskin di negara ini terdiri daripada masyarakat Melayu dan bumiputera, namun semua kaum, termasuk Cina dan India yang terkesan, akan mendapat bantuan.

“Memang benar, majoriti adalah Melayu, tetapi dalam kategori miskin, ada juga kadar yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat India. Contohnya, di Kuala Lumpur, walaupun majoriti Melayu, masyarakat India juga signifikan dan mempunyai jumlah penduduk yang tinggi.

“Namun, dalam usaha kita menyelesaikan kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, kita tidak akan membahagikan berdasarkan kaum. Oleh itu, kita akan menangani semua yang miskin, termasuk jumlah kecil dalam kalangan masyarakat Cina dan jumlah yang lebih besar dalam kalangan masyarakat India.

“Tidak benar jika dikatakan (usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar) hanya untuk Melayu, tetapi memang jumlah tersebut adalah besar dan majoriti dalam kalangan masyarakat Melayu. Saya harap penjelasan ini memberikan kejelasan, dan jika ada kenyataan sebaliknya, mohon maklum kepada saya kerana ini bertentangan dengan dasar kita,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan S Kesavan (PH-Sungai Siput) yang berharap pendekatan menoktahkan kemiskinan dilaksanakan kepada semua kaum, termasuk India.

Menjawab soalan asal Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai status terkini usaha kerajaan menoktahkan miskin tegar pada 2023, Anwar berkata pada 31 Januari tahun lalu, sejumlah 126,372 ketua isi rumah kategori miskin tegar dikenal pasti dan pada 29 Julai tahun ini, jumlah itu diselesaikan.

“Walau bagaimanapun kita tahu angka ini bertambah. Oleh kerana kejayaan ini, terdapat jumlah baharu yang didaftarkan. Pada 29 Julai, kita selesai, dan pada 1 Ogos, kita buka untuk penambahan permintaan baharu termasuk (permintaan) yang lama yang merasakan perlu memohon. Jumlahnya adalah 22,893.

“Setakat 21 Oktober tahun ini, 15,029 ketua isi rumah atau 65.6 peratus (miskin tegar) diselesaikan, jadi bakinya akan kita tingkatkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerjasama antara jentera kerajaan Persekutuan dan negeri turut membantu meningkatkan pendaftaran baharu bagi golongan miskin tegar, sekali gus memudahkan usaha kerajaan untuk mengeluarkan mereka daripada kelompok terbabit.