KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan untuk menempatkan peranti infusion pump di klinik-klinik kesihatan di Tuaran bagi tujuan pemberian intravenous zat besi kepada ibu-ibu hamil yang menghidap anemia di kawasan tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, terapi zat besi yang terdapat di klinik -klinik dan hospital Tuaran pada masa ini ialah sama ada diberi secara oral (pil) atau secara intravena (IV).
“Penyebab paling utama anemia semasa hamil ialah akibat kekurangan zat besi. Terapi zat besi oral adalah kaedah rawatan pilihan pertama kerana didapati berkesan untuk merawat anemia selain ianya lebih kos efektif, tidak invasif dan mudah diambil.
“Walau bagaimanapun, bagi kes tertentu, terapi zat besi secara IV perlu diberi kepada ibu hamil terutamanya kepada mereka yang menghadapi masalah dengan terapi secara oral, seperti sukar mematuhi rutin pengambilan pil, mengalami kesan sampingan atau terapi oral tidak lagi berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mejawab soalan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) pada Sesi Kamar Khas Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.
Terdahulu dalam ucapannya, Madius meminta penjelasana sama ada pihak KKM mempunyai perancangan menempatkan peranti dropmate (infusion pump) yang masih belum tersedia di klinik- klinik kesihatan di Tuaran.
Dzulkefly berkata, rawatan terapi zat besi secara IV telah mula diberikan pada September 2024 di klinik-klinik kesihatan di Daerah Tuaran.
“Bagi peralatan perubatan infusion pump bagi kegunaan pemberian ubat secara infusi IV, keutamaan penempatan peralatan ini diberi kepada fasiliti kesihatan primer di luar bandar yang jauh dari hospital iaitu masa perjalanan melebihi tempoh satu jam.
“Setakat ini, terdapat 40 unit peralatan infusion pump di klinik kesihatan di Wilayah Sabah.
“KKM berpandangan, tidak ada keperluan mendesak untuk menempatkan peralatan perubatan infusion pump di daerah Tuaran buat masa ini kerana rekod menunjukkan sepanjang tahun 2024 (hingga 7 Oktober), hanya seramai 19 (4.1%) ibu hamil yang mengidap anemia di klinik – klinik kesihatan di Daerah Tuaran telah diberi terapi zat besi secara IV.
“Walau bagaimanapun KKM sedia mempertimbangkan permohonan ini,” jelasnya.
Untuk rekod, pemberian secara infusi IV bermaksud terapi zat besi disuntik ke dalam salur darah dengan perlahan-lahan bagi tempoh tertentu yang mengambil masa 3 hingga 4 jam secara manual atau automatik.
Bagi pemberian secara manual, ia dibuat menggunakan set infusi IV dengan atau tanpa drip controller manakala pemberian secara automatik adalah menggunakan mesin infusion pump.