Advertisement

Jarak, Jamilah Johan Pertandingan P Ramlee Zon Sabah 2024 – Sabah News

P ramlee
Para peserta akhir Bintang P. Ramlee Zon Sabah 2024 bersama hadiah masing-masing ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Penghayatan watak Kasim Selamat bermain saksofon melalui lagu “Jeritan Batin Ku” membawa tuah kepada peserta dari Sandakan, Jarak Saidi.

Jarak, 56 dan Jamilah Hancus, 42, peserta yang mewakili Wilayah Persekutuan Labuan kedua-duanya dinobatkan sebagai juara kategori lelaki dan wanita dalam Pertandingan Akhir Bintang P. Ramlee Zon Sabah 2024.

Pertandingan anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah kelolaan Seksyen Hiburan dan Muzik telah berlangsung di Studio TV RTM, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, Kepayan di sini pada Khamis.

Selaku juara Jarak dan Jamilah membawa pulang hadiah wang tunai RM3000 berserta trofi dan sijil manakala penerima saguhati menerima wang tunai RM500 berserta piala iringan dan sijil penyertaan.

Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Pengarah Penyiaran Sabah, Salmah Hashim.

Ketika ditemui media sejurus dinobatkan sebagai juara, Jarak tidak menyangka beliau menjuarai pertandingan tersebut kerana dua peserta akhir yang lain turut mempamerkan persembahan yang baik.

“Saya tidak sangka menjuarai pertandingan ini kerana ini merupakan penyertaan pertama saya, sebelum ini saya tidak menyertai disebabkan oleh umur saya yang melebihi syarat pertandingan.

“Namun apabila pihak RTM menaikkan syarat umur peserta pertandingan sehingga 70 tahun dan atas didorong oleh peminat-peminat saya di TikTok saya memberanikan diri untuk menyertai pertandingan ini.

“Syukur Alhamdulillah penyertaan pertama ini membuahkan hasil dan selaku wakil negeri saya akan cuba menampilkan persembahan yang terbaik pada peringkat kebangsaan nanti,” katanya.

Manakala, Jamilah selaku juara kategori wanita pula terharu dan gembira kerana cubaan pertamanya membawakan lagu dendangan Seniwati Normadiah melalui “Sang Rajuna Hati” dalam filem ‘Ribut’ (1956) membawa tuah baginya.

“Ini merupakan penyertaan kedua saya, sebelum ini saya pernah sampai ke peringkat akhir pertandingan ini dan hanya mendapat saguhati pada tahun 2018.

“Sebelum ini saya hanya berlatih dan mempertaruhkan lagu-lagu nyanyian Biduanita Saloma di beberapa pertandingan, namun pada pertandingan kali ini saya cuba untuk mencabar diri dengan menghayati dan menyampaikan dendangan lagu Normadiah dan syukur taruhan ini berhasil pada kali ini,” ujarnya yang berasal dari Sandakan.

Jarak dan Jamilah akan mewakili zon Sabah ke Pertandingan Bintang P.Ramlee Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 30 November nanti di Stadium Perpaduan Kuching, Sarawak.

Peserta akhir Bintang P.Ramlee Peringkat Zon Sabah selain Jarak dan Jamilah ialah Arjayani @Fuad Ajad (Wilayah Persekutuan Labuan) dan Shazmi Misran (Papar) manakala kategori wanita terdiri dari Sazlianti Misran (Papar) dan Maizatul Asfa Marzuki (Membakut).

Pengarah Penyiaran Sabah, Salmah Hashim dalam kenyataannya memaklumkan bahawa pertandingan dwi tahunan tersebut dianjurkan bertujuan untuk mencungkil bakat, nyanyian, lakonan dan lawak jenaka bagi merangsang minat masyarakat untuk menghargai khazanah kesenian negara dan menghargai karya seni Seniman Agong Tan Sri P.Ramlee dan atas dasar itu pihak RTM telah menaikkan syarat umur penyertaan daripada 18 hingga 45 tahun kepada 18 hingga 70 tahun bermula tahun ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Penyiaran Sabah Ts. Cyril Simon dan Penolong Pengarah Seksyen Hiburan dan Muzik RTM Sabah Howard Martin Kimsung @Mohd Azrry Abdullah. — JABATAN PENERANGAN SABAH