Advertisement

Pikat Isteri Muda Datuk, Bekas SUT Kementerian Sabah Didenda Tiga Ekor Kerbau, RM3,000

Gambar Hiasan…

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang bekas Setiausaha Tetap sebuah kementerian Sabah dengan gelaran Datuk dikenakan denda tiga ekor kerbau dan RM3,000 oleh Mahkamah Anak Negeri Papar kerana memikat isteri muda seorang Datuk yang lain.

Ketua Mahkamah Anak Negeri Daerah Papar Alexander Malianus memerintahkan lelaki berusia 57 tahun itu membayar sogit, atau denda anak negeri, kepada plaintif, juga seorang bekas penjawat awam negeri berusia 76 tahun, dalam tempoh sebulan mulai 23 Oktober.

Bekas penjawat awam itu menuduh defendan yang kini masih dalam perkhidmatan awam “mencampur tangan” dengan isterinya yang berusia 30-an dan memfailkan kes terhadapnya pada 29 Ogos.

“Mahkamah telah mendapati defendan bersalah kerana melanggar adat masyarakat Kadazandusun di Papar kerana campur tangan dengan isteri plaintif,” kata Malianus membaca penghakiman selepas berbincang dengan rakan hakim mahkamah anak negeri.

Bagaimanapun katanya, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan penghakiman itu boleh merayu ke Mahkamah Anak Negeri Daerah dalam tempoh 60 hari dari tarikh keputusan mahkamah.

Defendan tidak hadir di mahkamah pada 23 Okt untuk menjawab pertuduhan yang difailkan mengikut Bahagian III Seksyen 8(1) Tradisi Adat Kaum Kadazandusun Daerah Papar.

Beliau juga tidak menghadiri perbicaraan pertama pada 4 Oktober.