Advertisement

PLKN 3.0 Dilaksana Secara Berperingkat Bermula Januari Tahun Depan

ALOR GAJAH: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari depan.

Memetik Berita Harian, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dilaporkan berkata, bagi fasa pertama, kerajaan menetapkan pembabitan peserta dalam skala kecil sebelum diperluaskan ke fasa seterusnya pada Jun tahun depan.

Beliau berkata, pelaksanaan PLKN 3.0 akan membabitkan peserta berusia antara 16 hingga 35 tahun dengan ketetapan beberapa modul pembelajaran.

“Untuk PLKN 3.0 ini kerajaan memperuntukkan sejumlah RM50 juta untuk memulakan pelaksanaannya, justeru kita akan mulakan program ini dengan pengambilan pertama pada awal tahun iaitu Januari depan.

“Bagi pengambilan pertama ini, peserta akan ditempatkan di dua kem untuk kita ‘pilotkan’ projek PLKN 3.0 ini yang akan membabitkan kira-kira 500 peserta sebelum dilaksanakan secara menyeluruh dengan bilangan lebih besar pada Jun tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Projek Jiwa Murni (PJM) peringkat negeri di Hutan Percha, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin.

Adly berkata, sebanyak 13 kem tentera dikenal pasti sebagai lokasi pelaksanaan PLKN 3.0 antaranya di Kuala Lumpur dan Pahang yang akan digunakan bagi menempatkan peserta terpilih.

“Kita akan menggunakan kem sedia ada dan sekarang ini dalam proses untuk baik pulih, namun bagi pengambilan sesi pertama, kita hanya akan menggunakan dua kem.

“Namun menjelang 2026, semua 13 kem ini kita akan gunakan bagi menempatkan peserta selepas pelaksanaan sepenuhnya dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, menerusi inisiatif PJM, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerusi Tentera Darat sudah melakukan pembaikan 10 rumah di Melaka dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

“Bagi menjayakan inisiatif ini sejumlah RM138,500 diperuntukkan kementerian ini membabitkan kerja membaik pulih lima kediaman dalam Parlimen Alor Gajah dan bakinya di Parlimen Tangga Batu,” katanya