KOTA KINABALU, SABAH – Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dijenamakan menjadi Sabah Electricty dengan membawa perkhidmatan yang lebih mampan.
Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, penjenamaan tersebut merupakan langkah strategik untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pengguna.
“Penjenamaan ini dilaksanakan sebagai identiti syarikat bertujuan memperkasa sistem perkhidmatan kepada 6,000 pengguna di Sabah dan Labuan.
“Di samping meneruskan aspirasi syarikat, ia turut menjurus kepada kerjasama satu pasukan yang progresif dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.
“Penjenamaan kali ini turut memperkenalkan nombor talian aduan baharu – Sabah Electricity Careline 15444 dan diharapkan tidak ada lagi kes-kes dimana panggilan pelanggan tidak disambut atau terlalu lama menunggu di talian,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula, Pelancaran Kaunter Perkhidmatan Pelanggan Kota Kinabalu dan Talian Baru 15444 Sabah Electricity di sini pada Jumaat.
Menurut Madius, langkah penjenamaan tersebut juga sebagai menyahut matlamat kerajaan ke arah sifar karbon.
“Penjenamaan semula ini merangkumi perubahan dan penstrukturan semula fungsi jabatan yang ada, tranformasi budaya kerja dan yang lebih utama menyahut kepada hala tuju kerajaan dalam mencapai sifar karbon menjelang tahun 2050 (net-zero carbon emissions by 2050).
“Ini bermakna, kami komited terhadap penggunaan sumber tenaga yang lebih hijau, lestari dan mesra alam, “ katanya. — JABATAN PENERANGAN SABAH