Advertisement

Remaja 15 Tahun Antara 12 Pekerja Kelab Malam Sandakan Dicekup Imigresen





SANDAKAN: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun adalah antara 12 pekerja kedai hiburan yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini awal pagi Isnin.

Ops Gegar Jabatan Imigresen Sabah membabitkan 13 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Kota Kinabalu dan Pejabat Imigresen Sandakan yang bermula tengah malam dan berakhir pada 12.18 pagi.

Pengarah Imigresen Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof dalam satu kenyataan pada Selasa berkata serbuan itu susulan aduan awam warga asing yang disyaki kekurangan dokumen pengenalan diri dan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk pekerjaan.

“Pegawai menemui beberapa warga asing dipercayai bekerja di tempat itu dan menunggu pelanggan di bilik persendirian.

“Seramai 35 individu diperiksa dan 12 warga asing ditahan termasuk tiga warga Filipina dan sembilan warga Vietnam (seorang lelaki dan lapan wanita) berusia antara 15 dan 38 tahun.

“Kesemua tahanan kini ditahan di Depoh Imigresen Sandakan untuk siasatan lanjut,” katanya.