KOTA KINABALU, SABAH – Dasar Alam Sekitar 2017 bukti komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pembangunan serta pengurusan alam sekitar yang mampan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, Sabah negeri pertama yang memperkenalkan dasar tersebut dengan menggariskan beberapa piawaian yang perlu dipatuhi bagi pembangunan lestari.
“Kerajaan Sabah mengiktiraf alam sekitar sebagai salah satu aspek penting untuk diambil kira dalam perancangan pembangunan dengan penerapan dasar-dasar yang bersesuaian digabungkan dengan faktor dan piawaian alam sekitar bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar serta sosial.
“Usaha untuk mencipta keseimbangan antara pembangunan dan perlindungan alam sekitar adalah amat penting pada masa sekarang berbanding sebelum ini dan ianya merupakan tanggungjawab semua pihak.
“Oleh itu, Kementerian ini melalui Jabatan Alam Sekitar memperkenalkan beberapa mekanisme yang perlu dipatuhi oleh pihak pemaju antaranya Environmental Self-Regulation (ESR) dan beberapa Standard Operations Procedure (SOP) bagi meminimumkan kesan projek kepada alam sekitar,” ujarnya ketika berucap merasmikan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Negeri Sabah di sini, pada Isnin.
Dalam ucapannya, beliau berbangga atas keberhasilan program-program alam sekitar yang memberi impak besar terhadap kelestarian alam.
“Pencapaian dalam program-program alam sekitar, seperti Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) dapat memberikan impak besar dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar bagi negeri ini ke peringkat nasional seterusnya antarabangsa.
“Selain SERASI, Projek Pemantauan Kualiti Udara di Sekolah (AQUAMS), adalah contoh utama bagaimana inovasi boleh melindungi sumber semula jadi dengan melibatkan pelbagai pihak antaranya sekolah dan komuniti setempat,” ujar beliau.
Pada majlis tersebut, Christina turut menyampaikan penghargaan khas kepada Sekolah Mentor bagi Projek SERASI kepada SM St Michael, Penampang, SM St Patrick, SJKC Sin Hwa, Tawau, SJKC Chi Hwa, Sandakan serta SK Lambidan, Kuala Penyu.
Manakala, SM St Michael, Penampang, SK Buang Sayang, Papar, SJKC Chung Hwa, Tamparuli, Sekolah Indonesia dan SMKA Tun Ahmad Shah Kota Kinabalu menerima penghargaan khas Sekolah Rakan AQUAMS.
Sementara itu, Pengetua SM St. Michael, Jennifer Asing menerima Anugerah Langkawi untuk Kelestarian Alam Sekitar diikuti dengan SM St. Patrick Tawau yang menerima Anugerah Sekolah Lestari.
Turut disampaikan, penghargaan khas sempena HASN 2024 Peringkat Negeri Sabah kepada Komuniti Kampung Darau Kota Kinabalu, Kampung Suasa Beaufort Kampung Piasau dan Kampung Podos Kota Belud. — JABATAN PENERANGAN SABAH