LAHAD DATU: Sebuah lori sembilan tan dilaporkan terbabas sendiri dan jatuh ke dalam longkang sedalam lima meter dalam kejadian kemalangan di Jalan Silam Batu 15 Silam Lahad Datu, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.56 petang.
“Seramai sembilan anggota pasukan bomba dari BBP Lahad Datu telah dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 23 kilometer.
“Terdapat seorang mangsa lelaki terlibat, iaitu Jaslin Agansai, 40-an dilaporkan keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Pasukan Bomba membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain wujud sebelum menamatkan operasi sepenuhnya pada jam 8.43 malam.